Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di KKM pada 29 April 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM: Patuh penjarakan sosial di taman awam

SHAH ALAM, 27 MEI: Kementerian Kesihatan (KKM) akan berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara dan polis berhubung pematuhan penjarakan sosial ketika aktiviti senaman di taman awam, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat laporan orang ramai gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketika beriadah sehingga menimbulkan kebimbangan risiko penularan Covid-19.

“Walaupun kita minta pihak berkuasa pantau aktiviti di taman awam tetapi perkara asas adalah kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk sentiasa berwaspada. Kita telah longgarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan membenarkan mereka bersenam, jadi kita harap SOP dipatuhi,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham memberi amaran individu yang melanggar perintah kuarantin selama 14 hari di rumah berdepan hukuman di bawah Seksyen 14 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Kita minta patuhlah arahan, mereka telah dikenal pasti untuk kuarantin di rumah atau di mana-mana tempat yang telah dikhaskan, jadi kawal diri dan bukan pergi joging atau ke pasar,” katanya.

Beliau mengulas tindakan seorang individu di bawah siasatan (PUI) di Sibu, Sarawak menanggalkan gelang tangan pengesanan Covid-19 untuk keluar rumah sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai apabila memuat naik gambar di Facebook miliknya bahawa dia telah keluar ke sebuah kedai pada hari ketujuh tempoh kuarantin pada 23 Mei lalu.

Lelaki itu dilaporkan tiba di Sibu pada 17 Mei lalu dari Kuala Lumpur dan diarah menjalani kuarantin di rumah sehingga 30 Mei ini.


Pengarang :