AGENDANASIONAL

KKM perhalusi SOP operasi kedai gunting rambut

PUTRAJAYA, 19 MEI: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti dan memperhalusi tatacara operasi piawai(SOP) berkaitan pembukaan semula kedai gunting rambut dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebelum mencadangkan sama ada premis itu boleh dibuka atau tidak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata KKM telah menerima surat daripada persatuan gunting rambut dan ia sedang dipertimbangkan selain mendapatkan data jumlah tukang gunting rambut yang bukan warganegara.

“Ini industri yang ada sentuhan dengan pelanggan jadi kita nak pastikan bagaimana kita dapat elakkan jangkitan Cpvid-19.

“Perkara ini telah kita lihat, dan apa yang kita perlukan untuk data ialah kita nak tahu berapa ramai pekerja asing yang menggunting rambut,” katanya dalam sidang media harian di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan perlu mendapatkan nasihat KKM sebelum membenarkan kedai gunting rambut dibuka susulan rayuan pengusaha kedai berkenaan yang memohon agar perniagaan mereka dibenarkan beroperasi kerana telah kehilangan pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan 18 Mac lepas.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sehingga semalam, KKM menerima 8,380 panggilan melibatkan kesihatan mental dan memerlukan kaunseling.

Katanya, 46.8 peratus masalah yang dibangkitkan adalah berkaitan emosi iaitu tekanan, bimbang, kemarahan akibat pelbagai faktor sosial seperti masalah kewangan, tiada pendapatan dan perselisihan faham dengan keluarga.

“Selain itu, 20 peratus adalah berkaitan isu wabak Covid-19 iaitu mereka mempunyai kebimbangan sekiranya mendapat maklumat tidak tepat berkaitan wabak dan untuk itu, kita beri kaunseling kepada mereka bagi mendapatkan maklumat terkini,” katanya.

Isu lain adalah melibatkan bantuan keperluan asas (6.9 peratus), masalah keganasan rumah tangga dan perhubungan (6 peratus), masalah psikiatri iaitu kemurungan dan keresahan (2.4 peratus) dan yang berkaitan penderaan kanak-kanak iaitu 0.2 peratus, katanya.

Dr Noor Hisham berkata nasihat akan diberikan berdasarkan masalah yang dihadapi dan KKM turut mempunyai talian penting untuk dihubungi bagi membolehkan doktor serta warga kementerian memberi kaunseling secara dalam talian kepada yang memerlukan.

– BERNAMA


Pengarang :