Kelihatan orang awam mengambil barang yang dipesan dengan pelbagai cara ketika tinjauan di sekitar Bandar Baru Selayang yang merupakan antara kawasan yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 25 April sehingga 3 Mei ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM siasat punca kluster di tapak pembinaan Kuala Lumpur

SHAH ALAM, 3 MEI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih menyiasat punca kewujudan kluster baharu di tapak pembinaan Kuala Lumpur yang merekodkan 28 kes positif Covid-19 setakat ini, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster membabitkan warga asing berkenaan mungkin mempunyai kaitan dengan kluster lain seperti di pasar borong atau di Kampung Baru.

“Mulanya (individu) mungkin ada kaitan dengan kluster lain, contohnya duduk dalam rumah yang sama. Kita masih menjalankan siasatan sama ada boleh atau tidak mereka mendapat jangkitan daripada kluster berkenaan,” katanya ketika sidang media harian mengenai Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Berdasarkan laporan kluster aktif Covid-19 di negara ini, kluster pesantren merekodkan kes baharu tertinggi hari ini dengan 50 diikuti kluster Sendayan 17 kes dan 16 kes direkodkan di Pasar Chow Kit.

Bagi persidangan gereja dan petugas kesihatan Kuching, Sarawak, kedua-dua kluster berkenaan hanya merekodkan satu kes baharu hari ini.

Di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pula, pusat bandar utara dan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur merekodkan kes luar tertinggi iaitu 17 dengan lapan daripadanya warga asing diikuti empat kes di Selayang Baru dan tiga di Selangor Mansion.


Pengarang :