AGENDANASIONAL

KKM teliti kaedah, inovasi baharu sebelum benar taska dibuka

SHAH ALAM, 8 MEI: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mempertimbangkan kaedah dan inovasi baharu yang boleh digunakan sebelum memberi kebenaran untuk taska beroperasi semula, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini belum ada keputusan muktamad bagi membuka taska kerana KKM masih meneliti sebaik mungkin cadangan pelbagai pihak.

Katanya, banyak permintaan pihak kilang dan industri supaya operasi taska dibuka semula ekoran sektor ekonomi sudah dibuka.

“Kita sedang meneliti permohonan ini dan apa yang kita risau adalah kawalan terhadap kanak-kanak berkenaan. Kalau di taska, sebelum wabak Covid-19 pun penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) masih berlaku jadi jangkitan mudah di taska, tempat kerja dan sebagainya.

“Kalau kita kumpulkan semua kanak-kanak di satu tempat, itu akan jadi perhimpunan dan menjadi kerisauan KKM kerana kebolehjangkitan akan meningkat jika ikut kaedah lama.

“Melainkan jika pengurusan kanak-kanak boleh dihadkan secara ‘one to one’ atau di tempat khas, baru kita boleh pertimbang,” katanya pada sidang media harian mengenai Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata bilangan kes sporadik Covid-19 semakin berkurangan bagi tempoh seminggu dengan tiga kes direkodkan.

“Hanya tiga kes sporadik direkodkan berlaku dalam kalangan pesakit jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) dan penyakit seperti influenza (ILI) dalam tempoh itu.

“Kita juga melaksanakan pemantauan kepada mereka bergejala di klinik, pesakit radang paru-paru yang masuk ke wad dan unit rawatan rapi serta kes kecemasan dan separa kecemasan.

“Hanya lima daripada 7,593 kes kecemasan dan separa kecemasan yang disaring dan disahkan positif Covid-19 atau bersamaan 0.1 peratus,” katanya.


Pengarang :