Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil sampel ketika menjalankan saringan Covid-19 terhadap peniaga di Pasar Besar Seremban pada 3 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kluster Pedas: 786 saringan, 60 positif Covid-19

SHAH ALAM, 8 MEI: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 60 kes positif Covid-19 daripada kluster sebuah kilang di Pedas, Negeri Sembilan sejak 2 Mei hingga hari ini, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sejumlah 786 saringan dilakukan selama seminggu membabitkan pekerja dan ahli keluarga mereka.

“Daripada jumlah keseluruhan disaring, 60 didapati positif, 286 negatif dan 440 masih menunggu keputusan.

“Kes-kes positif kluster ini melibatkan tujuh warganegara Malaysia dan 53 bukan warganegara iaitu warga Nepal (25 kes), Bangladesh (18 kes), Indonesia (8) dan Myanmar (2),” kata beliau pada sidang media harian mengenai Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, KKM masih menyiasat punca jangkitan bagi kluster berkenaan yang dikenal pasti pada 2 Mei.

“Kluster ini dikesan apabila seorang kakitangan kilang tersebut tidak sihat dan mula mengalami gejala seperti demam, batuk, selesema, sesak nafas dan sakit kepala pada 5 April.

“Pekerja itu mendapatkan rawatan di klinik kesihatan dan ujian Covid-19 dilakukan pada 10 April. Pada 12 April keputusan ujian pengesanan Covid-19 disahkan positif. Susulan itu, siasatan dan saringan bagi kontak rapat kakitangan di kilang tersebut dijalankan,” katanya.


Pengarang :