Selangorkini
Seorang pengunjung mengambil peluang membeli-belah setelah kerajaan membenarkan hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan beroperasi semula pada 4 Mei 2020 mengikut SOP ketat. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

KP Kesihatan: Pakai pelitup muka di kawasan awam dan sesak

PUTRAJAYA, 4 MEI: Pemakaian pelitup muka sangat digalakkan dalam kalangan rakyat terutama bagi mereka yang berada di kawasan awam dan sesak bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

“Kementerian Kesihatan (KKM) menggalakkan mereka memakai pelitup muka tetapi sekarang ini bukan satu kewajipan,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di sini hari ini.

Selain itu, Dr Noor Hisham mengingatkan syarat lain juga perlu dipatuhi iaitu penjarakan sosial yang selamat sekurang-kurangnya satu meter serta amalan kebersihan diri yang tinggi dengan kerap mencuci tangan.

“Kalau boleh amalkan jarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter jadi kita boleh elakkan penularan Covid-19. KKM harap semua rakyat Malaysia akan patuh kepada tatacara operasi piawai (SOP),” katanya.

Ditanya mengenai pematuhan orag awam terhadap Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Dr Noor Hisham berkata ia terlalu awal untuk dinilai.

“Bagaimanapun, melihat kepada amalan di negara lain seperti Taiwan dan Korea Selatan, mereka tidak ada PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) tetapi mereka mempunyai disiplin sosial dan mematuhi SOP.
“Sekarang SOP adalah jelas dan KKM menggesa semua rakyat Malaysia untuk mengamalkan penjarakan sosial, memakai pelitup separuh muka, kerap membasuh tangan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata SOP untuk industri dan restoran juga jelas dan pematuhannya adalah sangat penting untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Jika mereka boleh mematuhinya, kita boleh memutuskan rantaian jangkitan, jika tidak terdapat risiko untuk kadar jangkitan meningkat lebih tinggi daripada 0.7 sekarang dan ini akan dipantau rapi,” katanya.

Mengenai justifikasi KKM terhadap PKPB yang diwartakan, Dr Noor Hisham berkata strategi KKM dalam PKP fasa 1, 2 dan 3 ialah untuk meratakan lengkung dengan menggalakkan setiap orang duduk di rumah.

“Melihat kepada situasi PKPB ialah untuk membenarkan sektor perniagaan beroperasi semula. Apa yang penting ialah mematuhi SOP.

“PKP fasa 1, 2 dan 3 dan bahagian awal fasa 4 ialah untuk memastikan orang ramai duduk di rumah, itulah mesejnya. Sekarang mesejnya kepada orang awam mengenai PKPB ialah mematuhi SOP,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata amat penting untuk orang awam mempunyai disiplin sosial dan pematuhan sosial, selain memastikan industri dan restoran mematuhi SOP atau berhadapan tindakan undang-undang di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

-BERNAMA


Pengarang :