Pasukan penguat kuasa KPDNHEP cawangan Gombak melakukan pemeriksaan di premis runcit sekitar Gombak pada 1 Mei 2020. Foto Facebook KPDNHEP Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

KPDNHEP perlu aduan lengkap, mudahkan siasatan

KUALA TERENGGANU, 12 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengingatkan pengguna agar memberi maklumat lengkap jika membuat aduan bagi memudahkan proses siasatan.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, ia juga bagi mengelak rasa tidak puas hati dan tohmahan orang ramai terhadap kementerian apabila tindakan tidak dapat dilakukan berikutan kekurangan atau ketiadaan informasi tepat.

“Saya minta supaya orang ramai beri laporan tepat tentang jenis barang, premis dan tempat di mana berlaku bagi memudahkan siasatan serta tindakan diambil… bukan berasaskan dengar-dengar cakap sahaja.

“Jika ada maklumat tepat dan sahih, pihak kami tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil kepada peniaga lebih-lebih lagi pada masa sekarang, rakyat sedang berada dalam kesusahan,” katanya kepada pemberita selepas melawat kilang syarikat pengeluar produk dalam tin, Pertima Terengganu Sdn Bhd, di sini, semalam.

Rosol berkata, setakat ini, KPDNHEP menerima 2,772 aduan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lepas.

Daripada jumlah itu, beliau berkata, 86 kes diambil tindakan manakala selebihnya masih dalam siasatan dan menunggu tindakan lanjut.

Menurut beliau, sebahagian besar aduan adalah berkaitan kenaikan harga barangan dalam tempoh PKP fasa satu yang berpunca daripada aktiviti pembelian panik oleh orang ramai.

“Jumlah aduan tinggi direkodkan pada PKP fasa satu dan selepas masuk fasa dua bilangannya semakin mendatar dan tidak banyak isu yang timbul selepas itu.

“Kebanyakan aduan juga berkaitan isu bekalan pelitup separuh muka yang tidak cukup disebabkan pembelian panik dan tindakan sesetengah peniaga tidak bertanggungjawab yang menyorok bekalan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :