AGENDANASIONALSELANGOR

KPDNHEP Selangor periksa 1,378 premis runcit, dua dikompaun

SHAH ALAM, 31 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor mengenakan kompaun RM3,000 ke atas dua peniaga kerana gagal mempamerkan tanda harga pada barang kawalan dalam tempoh Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri.

KPDNHEP negeri itu memaklumkan dua kes tersebut dikenal pasti cawangannya iaitu Gombak dan Kuala Kubu Bharu dan setakat ini sebanyak 1,378 premis runcit dan 17 pasar borong diperiksa sepanjang tempoh skim sejak 20 Mei dan berakhir pada 3 Jun nanti.

“Dua peniaga terlibat dikompaun RM1,000 dan RM2,000 atas kesalahan berkaitan dan pada masa sama kita mengingatkan mereka sentiasa mengekalkan penjagaan kesihatan, amalkan etika perniagaan baik,” katanya menerusi Facebook.

Kementerian itu turut menasihatkan pengguna menjaga jarak sosial dan bijak merancang perbelanjaan supaya tidak berlaku pembaziran.

Semalam, KPDNHEP turut membuat lawatan dan pemeriksaan ke Pasar Moden Taman Seri Gombak untuk memeriksa tanda harga warna merah jambu bagi barangan kawalan dalam tempoh SHMMP Aidilfitri.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Pencegahan, Azman Adam dan Pengarah KPDNHEP Selangor, Zikril Azan Abdullah.


Pengarang :