Tan Sri Abdul Hamid Bador. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KPN gesa hukuman berat terhadap pemandu mabuk

SHAH ALAM, 3 MEI: Ketua polis negara mahu hukuman maksimum dikenakan terhadap pemandu yang menyebabkan seorang anggotanya maut ketika menjaga sekatan jalan raya awal pagi tadi.

Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata siasatan awal mendapati pemandu tersebut bukan sahaja cuai malah memandu dalam keadaan mabuk, lapor Berita Harian.

“Saya harap dia (pemandu) akan dikenakan hukuman maksimum atas perbuatannya sebagai pengajaran. Ada segelintir individu tidak menghiraukan langsung keselamatan pengguna dan petugas di jalan raya.

“Ada lagi yang sempat mengambil minuman keras dan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kemalangan maut. Itu jelas perbuatan yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Awal pagi tadi, Koperal Safwan Muhammad Ismail, anggota Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang meninggal dunia selepas dirempuh pemandu disyaki mabuk di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Lekas.

Nahas jam 2.11 pagi berlaku apabila pemandu Toyota Hilux dari arah Kajang menuju plaza tol berkenaan hilang kawalan hingga merempuh mangsa dan kenderaan polis di tepi jalan.

Susulan itu, Safwan, 31, mengalami kecederaan parah di kepala dan badan. Jenazah akan dikebumikan di Ulu Kinta, Perak.


Pengarang :