Selangorkini
Pemain Ragbi Malaysia, Muhamad Hafiezie Sudin (empat, kanan) bersama rakan sepasukan cuba bertahan dari diasak pemain UAE, Alistair Hess (tiga, kanan) pada Kejohanan Ragbi Asia Bawah 19 Division 2 di UPM pada 15 Disember 2019. Foto BERNAMA
AGENDA SUKANKINI

KRM, MSN sasar pingat sulung ragbi di Sukan Asia 2026

ccsb-ads

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) mempunyai misi melakar sejarah baharu apabila menyasarkan untuk membawa pulang kilauan pingat pada temasya Sukan Asia 2026 di Nagoya, Jepun.

Malaysia belum pernah meraih sebarang pingat di pentas Sukan Asia, namun ia tidak lagi mustahil selepas KRM bersama Majlis Sukan Negara (MSN) baru-baru ini mencapai persetujuan melaksanakan program latihan jangka panjang khusus buat pasukan ragbi tujuh sepasukan (7’s) lelaki dan wanita negara.

Presiden KRM, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata perkembangan terbaharu itu bertujuan mewujudkan satu mekanisme latihan bersepadu untuk membantu memastikan kejayaan kedua-dua skuad 7’s negara meraih kilauan pingat yang dinanti-nantikan.

“Kita nak menang pingat Sukan Asia 2026. Kita perlu ada satu program yang sangat teliti, sangat bersepadu dan sangat menyeluruh untuk cuba memenangi pingat di Jepun yang kita tahu bukan mudah. Tetapi kita ingin mencuba, sampai bila kita hanya mahu bercakap pasal Sukan SEA.

“Program ataupun projek khas ini sepatutnya bermula antara Mac hingga Mei, namun disebabkan pandemik Covid-19 ia terpaksa ditangguhkan sehingga ke satu tarikh baharu,” katanya kepada Bernama, semalam.

Shahrul Zaman berkata pelaksanaan program berkenaan akan menyaksikan tumpuan diberikan lebih kepada barisan pemain ragbi berpotensi berusia dalam lingkungan 22 tahun untuk diserapkan ke dalam program.

Namun, beliau menegaskan KRM tetap mengekalkan pemain senior sedia ada untuk mewakili negara ke kejohanan antarabangsa sementara pemain daripada program bersama MSN itu akan diserap ke dalam skuad kebangsaan secara berperingkat.

“Kita fikirkan pemain lingkungan 22 tahun sebab lagi enam tahun mereka berusia 28. Program ini tidak bermaksud mereka sahaja akan mewakili negara selepas ini, tidak. Kita masih menaruh kepercayaan terhadap barisan pemain sedia ada tetapi kita harus mempunyai perancangan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :