Petugas Kesihatan Selcare berehat seketika selepas membuat ujian saringan Covid-19 secara pandu lalu di Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, Selayang pada 20 April 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSI SELANGOR

Kuala Langat kembali ke zon kuning, 20 kes aktif di mukim Tanjong

SHAH ALAM, 29 MEI: Kuala Langat kembali diisytiharkan sebagai zon kuning Covid-19 susulan pertambahan 20 kes aktif di mukim Tanjong 12 (2) setakat 12 tengah hari tadi.

Daerah berkenaan sebelum ini mengekalkan status zon hijau selama lebih tiga minggu apabila tidak mencatat sebarang kes positif wabak itu sejak 7 Mei lalu.

“Hari ini daerah Kuala Langat telah bertukar ke zon kuning setelah 20 kes baru dilaporkan di mukim Tanjong 12 (2) disebabkan kes bukan warganegara dari sebuah syarikat.

“Warga Selangor diminta patuh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD) kerana usaha pelandaian keluk graf pandemik adalah usaha berterusan,” tulis Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) di Facebook.

Enam daerah lain yang berada dalam zon kuning ialah Sepang (40), Petaling (31), Hulu Selangor dan Gombak (16), Kuala Selangor (11) termasuk Klang (lima).

Sabak Bernam menjadi daerah tunggal di negeri ini memegang status zon hijau selepas tiada lagi kes aktif dikesan manakala Hulu Langat masih diklasifikasikan sebagai zon merah dengan mencatatkan 123 kes aktif.

Selangor merekodkan pertambahan 28 kes baharu menjadikan jumlah terkumpul sebanyak 1,873 dengan 262 daripadanya aktif.

Negeri ini turut merekodkan sebanyak 1,516 kes pulih dan dibenar keluar hospital manakala angka korban kekal 22 orang.


Pengarang :