Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan juadah berbuka puasa kepada Brigedier Jeneral Norsham Md Tap dan petugas barisan hadapan di Balai Penghulu Mukim Batu, Gombak pada 1 Mei 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kunjungan MB suntik semangat petugas barisan hadapan

BATU CAVES, 2 MEI: Kunjungan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ke Balai Penghulu Mukim Batu di sini semalam menyuntik semangat baharu buat petugas barisan hadapan yang berjuang mengawal penularan Covid-19 ketika Ramadan.

Perkara itu diakui Panglima Briged Kesebelas Infantri Malaysia Brigedier Jeneral Norsham Md Tap yang menyifatkan ia sebagai bukti keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap golongan terbabit.

“Kunjungan beliau pasti memberi semangat kepada anggota tentera, polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia termasuk semua kakitangan lain untuk bertugas dengan lebih cemerlang dan cekap.

“Sepanjang Ramadan sememangnya banyak cabaran perlu dihadapi sewaktu menjalankan tugas terutama cuaca yang agak panas pada waktu siang,” katanya kepada Media Selangor.

Menceritakan cabaran sebenar bertugas di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Norsham berkata anggota bertugas perlu melakukan rondaan sepanjang masa bagi memastikan tiada pencerobohan berlaku.

“Anggota bukan duduk di satu-satu tempat sahaja tetapi oleh kerana kawasan Selayang Baru dikepung dan dikeliling kawat besi, jadi kami harus meronda setiap masa.

“Kami terpaksa bergerak dalam apa jua keadaan cuaca sekali pun, jadi semangat itu penting supaya kami dapat meneruskan tanggungjawab yang diamanahkan ketika ini,” katanya.

Dalam lawatan kira-kira 30 minit, Amirudin yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Tua menyantuni petugas barisan hadapan dan menyerahkan juadah berbuka puasa seperti kurma, nasi, roti john serta bubur lambuk.

Beliau kemudian melawat lokasi sekatan jalan raya berhadapan Petron Selayang dan menyampaikan sumbangan sama.


Pengarang :