Adik Nur Qaseh Zullaikha Muazri, 6, bermain bunga api di halaman rumahnya yang dihiasi dengan pelita panjut di Kampung Ribu, Padang Rengas pada 20 Mei 2020. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Lagu raya klasik tak lapuk ditelan zaman

Lagu raya sebahagian sambutan Aidilfitri. Ia ibaratkan pelengkap kemeriahan, seolah-olah tidak sempurna hari raya tanpa rentak irama. Namun, tiada rekod tepat bila budaya ini bermula tetapi lagu Selamat Hari Raya nyanyian penyanyi bangsawan, Miss Aminah, nama sebenarnya Aminah Nani, dikatakan lagu pertama dikumandang melalui corong radio Tanah Melayu pada 1936. Lagu itu ciptaan Tengku Alibasha @ Che Ara Bangsawan.

Ternyata, lagu raya klasik kekal menggamit nostalgia, terus utuh sebagai pilihan. Tidak terkecuali sambutan kali ini walau disambut dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sekali-sekali akan kedengaran lagu raya berkumandang. Berdasarkan pemerhatian, wartawan NAZLI IBRAHIM dan MUNIRAH AHAMAD mengupas beberapa lagu popular yang sehingga kini tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Dendang Perantau 

Dicipta dan dinyanyikan pada 1960-an ketika Allahyarham Tan Sri P Ramlee bergiat di Singapura manakala lirik ditulis S Sudarmaji. Pada awalnya, P Ramlee membawa versi asal lagu, diiringi Orkestra ‘Malay Film Productions’.

Versi asal masih boleh didengari di YouTube. Iramanya mendayu-dayu hingga mampu mengundang kesedihan khususnya buat perantau yang tidak pulang beraya.

P Ramlee kemudian memberi nafas baharu dengan memasukkan elemen pop yeh yeh untuk disesuaikan dengan peredaran muzik. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyebut judul lagu ini pada perutusan khas ketika mengumumkan PKPB.

Dari Jauh Kupohon Maaf

Alunan suara Allahyarham Datuk Sudirman Arshad ketika membawakan lagu ini mampu menjentik perasaan sayu. Ia diterbitkan oleh syarikat rakaman EMI (Malaysia) Sdn Bhd pada 1981.

Lagu bertema kekeluargaan menonjolkan elemen kesedihan tidak dapat beraya bersama keluarga di kampung kerana terpaksa bertugas.

Lirik dihasilkan komposer tersohor, S Atan. Lagu ini turut dirakam semula beberapa penyanyi termasuk Haiza pada 2019.

Balik Kampung 

Lazimnya, lagu ini diputarkan stesen radio sejak awal Ramadan. Berbeza kali ini, ia langsung tidak kedengaran berikutan larangan rentas negeri sepanjang Ramadan.

Nyanyian Sudirman, liriknya menceritakan keceriaan balik ke kampung. Uniknya, lirik yang ditulis Sudirman langsung tidak menyebut “hari raya.”

Asalnya, ia bukan direka sempena Aidilfitri sebaliknya kisah anak muda yang seronok pulang ke desa untuk bertemu ibu bapa dan sanak-saudara. Rakaman dibuat melalui album Dari Sebuah Bilik pada 1984.

Satu Hari di Hari Raya 

Jika tidak mahu mendengar lagu sedih kerana berjauhan dengan keluarga, ciptaan komposer terkenal, M. Nasir boleh dijadikan pilihan. Lagu ini bertema ketuhanan dengan menyelitkan unsur kesyukuran dan keinsafan.

Beliau mendendangkan sendiri lagu ini melalui album kompilasi Pemberian Di Hari Raya. Seperti kebanyakan lagu raya lain, lagu ini juga diterbitkan semula pada 1994.

Menjelang Hari Raya

Lagu nyanyian Datuk DJ Dave juga antara yang boleh dijadikan pilihan. Ia mendapat sentuhan komposer Atan yang diterbitkan pada 1978 dengan tema keceriaan menyambut perayaan.

 

Rentaknya sedikit rancak sekali gus mampu melupakan kesedihan beraya tanpa keluarga. Uniknya lagu ini
menjadi inspirasi kepada DJ Dave untuk memeluk Islam beberapa bulan selepas rakaman.

 


Pengarang :