PENDAPATRENCANA

Lailatulqadar: Umpama ibadat 1,000 bulan

SESUNGGUHNYA, malam Lailatulqadar menjanjikan ganjaran luar biasa buat umat Islam. Ia dianggap malam yang lebih baik daripada hari-hari lain. Justeru, kedatangan malam tersebut dinanti-nantikan dengan penuh keyakinan dan harapan.

Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Mufti Selangor Khairil Jahrin berkata mukmin  tetap boleh mengejar malam Lailatulqadar dalam suasana wabak Covid-19. Beliau menjelaskan ibadat boleh dibuat
di rumah bersama keluarga atau bersendirian walau tidak dapat bertarawih di masjid atau surau.

“Banyak manfaat akan diperoleh antaranya diberikan rahmat keampunan, dan dijauhkan dari api neraka. 10 malam terakhir ini merupakan bonus dari Allah untuk kita, perbanyakkan amal ibadat seperti zikir, selawat dan solat,” katanya.

Wartawan Aliff Fikri turut menyusun semula kelebihan malam berkenaan berdasarkan khutbah Jabatan Agama Islam Selangor bertajuk Ke Syurga Bersama Keluarga dan Lailalatulqadar Malam Yang Dinantikan Oleh Mukmin.

– Muncul pada 10 hari terakhir Ramadan. Rasulullah SAW juga beriktikaf di masjid dan meminta ahli keluarganya memperbanyakkan amal. Baginda meminta umat membuat iktikaf, membangunkan keluarga untuk bersolat, tahajud, witir, membaca al-Quran dan berzikir

– Berdasarkan surah al-Qadr ayat satu hingga lima, malam itu adalah malam kitab suci al-Quran diturunkan

– Antara sebab penurunan surah al-Qadr, Nabi Muhammad SAW menyebut seorang lelaki Bani Israel yang menggunakan senjatanya untuk berperang pada jalan Allah. Dalam riwayat lain, baginda menyebut
empat orang Bani Israel yang beribadat selama 80 tahun tanpa sedikit pun tidak derhaka kepada-Nya.

– Tarikh tepat tidak diketahui dan menjadi rahsia-Nya. Namun, ulama sependapat ia berlaku pada hari-hari ganjil. Berdasarkan hadis, malam-malam tersebut ialah 21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadan.

– Mengikut pandangan ulama, antara tanda-tanda orang yang menemui malam Lailatulqadar adalah:

a) Melihat nur terang benderang di segenap tempat hingga ke ceruk yang gelap-gelita.
b) Mendengar ucapan salam dan kata-kata yang lain dari malaikat.
c) Melihat segala benda termasuk pohon-pohon kayu rebah sujud.
d) Doa permohonan makbul.

– Mengikut kitab Ihya’ Ulumuddin, kesungguhan beribadat ditunjukkan melalui khatam al-Quran tiga malam sekali. Iman al-Syafie pula mengusulkan 60 kali khatam sepanjang Ramadan. Mengikut kisah 40
orang tabi’in pula, beribadat hingga tidak tidur sepanjang malam.

– Mengikut Tafsir al-Maraghiy, Lailatulqadar dianggap peletakan batu asas agama Islam dan penurunan al-Quran sesuai dengan tuntutan zaman dan tempat.

– Kelebihan pada malam tersebut antaranya solat dan ibadat lebih baik daripada amalan 1,000 bulan atau bersamaan 83 tahun berdasarkan surah al-Qadr ayat ketiga.

– Turunnya Jibril dan para malaikat untuk memberi hidayah bagi mereka yang berpuasa seikhlas hati. Mereka turun ke bumi dengan izin-Nya untuk membawa segala kebaikan dan keberkatan.

– Takdir atau nasib seseorang dicatat Allah SWT pada malam Lailatulqadar. Takdir itu diperlihatkan kepada malaikat sebelum dilaksanakan mereka.

– Berdoa pada malam tersebut boleh mengubah ketetapan-Nya kerana Allah SWT menentukan perjalanan hidup seseorang manusia.


Pengarang :