AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Lapan kawasan di Hulu Selangor alami gangguan bekalan air

SHAH ALAM, 28 MEI: Lapan kawasan di Hulu Selangor mengalami gangguan bekalan air susulan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selisik, kata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Ketua Komunikasi Korporatnya Elina Baseri berkata sehingga jam 7 malam tadi LRA Sungai Selisik masih tidak beroperasi kerana pencemaran diesel masih dikesan pada sumber air mentah.

“Kawasan terjejas adalah Kampung Sungai Nilam atau Kampung Seri Pagi, Kampung Lalang Sungai Selisek, Rumah Murah Pkt 2 dan Kampung Serigala, Kampung Orang Asli Serigala, Kampung Bahom, Kampung Sekolah dan Kuarters Klinik serta Kampung Gesir Tengah.

“Air Selangor mula menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan terlibat bagi mengagihkan bantuan bekalan air kecemasan kepada pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Elina berkata Air Selangor akan mengemas kini maklumat pemulihan bekalan air ke kawasan terjejas kepada pengguna dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

“Para pengguna juga digalakkan untuk memuat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk mendapatkan maklumat terkini bekalan air,” katanya.

Kemalangan melibatkan lori tangki diesel dan van keselamatan di Kilometer 389.5 Lebuhraya Utara Selatan (arah Utara) berhampiran Behrang semalam, menyebabkan tumpahan diesel mengalir ke Sungai Siah di Perak.

Ia menyebabkan LRA Sungai Selisik yang terletak pada jarak 2.7 kilometer di hilir sungai berkenaan terpaksa dihenti tugas.


Pengarang :