AGENDANASIONAL

Lebih 1.2 juta muat turun aplikasi Gerak Malaysia

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Lebih 1.2 juta individu memuat turun aplikasi Gerak Malaysia bagi melakukan pergerakan rentas negeri sehingga 12 tengah hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata daripada jumlah itu sebanyak 503,276 individu telah memohon permit berkenaan sejak 25 April lepas.

Beliau berkata orang ramai diminta untuk mengemas kini maklumat terkini menerusi aplikasi itu bagi melancarkan proses pergerakan rentas negeri.

“Aplikasi ini telah dinaik taraf ke versi 2.0 dengan membolehkan orang ramai menetapkan perjalanan yang ingin dilakukan sebelum 6 Mei,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman di sini hari ini.

Beliau berkata perjalanan boleh dilakukan bermula 7 hingga 10 Mei mengikut hari dan negeri yang telah ditetapkan.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Al-Ishsal Ishak berkata aplikasi Gerak Malaysia versi 2.0 boleh mula dimuat turun bagi paparan kedua-dua jenis telefon bimbit.

“Pengguna Android sudah mula boleh mengemas kini aplikasi berkenaan menerusi Android Playstore manakala bagi pengguna iPhone boleh mengemas kini menerusi Apple Store.

“Versi terbaharu ini akan membolehkan orang ramai mengisi butiran tempat asal dan destinasi negeri yang akan mereka tuju,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :