Ir Izham Hashim mencuba alat pengecaman muka dan pengesanan suhu badan yang di sumbangankan kepada Pusat Khidmat Masyarakat DUN Pandan Indah di Pandan Indah, Kuala Lumpur pada 12 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Lima lokasi baharu Pasar Agro Selangor dibuka sebelum Aidilfitri

AMPANG, 12 MEI: Kerajaan Negeri akan membuka sekurang-kurangnya lima lokasi baharu Pasar Agro Selangor dalam tempoh terdekat, kata EXCO industri asas tani.

Ir Izham Hashim berkata ia bagi memenuhi permintaan rakyat, terutama bekalan daging menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Selain itu, pembukaan lokasi baharu Pasar Agro turut membantu meningkatkan pendapatan golongan petani dan penternak yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

“Perincian lokasi baharu pasar ini akan diputuskan dalam mesyuarat mingguan EXCO esok dan buat masa ini saya tidak boleh beritahu di mana lokasinya,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Alat Pengecaman Muka dan Pengesanan Suhu Badan bagi kegunaan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah.

Ir Izham berkata pembukaan lokasi baharu Pasar Agro Selangor memerlukan sedikit masa kerana memerlukan kajian terperinci, terutama jika ia berkonsepkan pandu lalu.

Negeri ini mempunyai 10 Pasar Agro Selangor iaitu di Dengkil, Puchong, Petaling Jaya, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Ia disusuli Laman Niaga Komuniti Bandar Baru Bangi, Pasar Tani Selayang, My Farm Outlet Putrajaya, Seksyen 13 dan Seksyen 15 di Shah Alam.

Orang ramai boleh layari laman web www.agrobazaar.com.my untuk membeli dalam talian atau mendapatkan maklumat lanjut mengenai Pasar Agro Selangor menerusi Facebook Agro Selangor.

Sejak dilancarkan pada 27 Mac lalu, Pasar Agro Selangor mencatatkan nilai purata jualan antara RM20,000 hingga RM250,000 sehari.


Pengarang :