Operasi Pasar Agro Selangor di Laman Komuniti Bandar Baru Bangi lancar menerusi konsep pandu lalu. – Foto FB Fama
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Lima lokasi Pasar Agro Selangor beroperasi menjelang Aidilfitri

SHAH ALAM, 19 MEI: Operasi Pasar Agro Selangor diperluaskan ke empat lokasi terpilih menjelang sambutan Aidilfitri hujung minggu ini bagi membolehkan orang awam mendapatkan barangan segar terutama bekalan ayam dan daging pada harga berpatutan, kata EXCO pertanian.

Ir Izham Hashim berkata lokasi berkenaan adalah di tapak pasar tani, Seksyen 13 Shah Alam, tapak pasar tani Kelana Jaya; Saujana Utama, Sungai Buloh dan Beranang, Hulu Langat.

Katanya, pertambahan ini menjadikan jumlah keseluruhan Pasar Agro Selangor yang akan beroperasi adalah lima termasuk operasi sedia ada di Bandar Baru Bangi.

“Insya-Allah kita beri jaminan jualan barang-barang dibuat di bawah harga kawalan. Saya difahamkan ada kenaikan harga ayam dan daging. Kita akan pertahankan untuk beri harga terbaik.

“Contohnya ayam kita akan cuba beri harga bawah RM7.50 sekilo dan daging lembu segar atau daging pejal pada harga maksimum RM35 sekilo. Saya difahamkan ada tempat yang sudah melebihi RM8 untuk harga ayam,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook hari ini.

Pasar ini akan beroperasi selama dua hari bermula 22 Mei dan 23 Mei (Jumaat dan Sabtu) pada jam 8 pagi hingga 2 petang.

Beliau berkata setakat ini jumlah jualan di Pasar Agro Selangor hampir mencecah RM10 juta sejak mula dilancarkan pada 27 Mac lalu.


Pengarang :