Hee Loy Sian mendengar taklimat ringkas berkenaan pencemaran diesel di Loji Rawatan Air Sungai Selisek, Hulu Selangor pada 29 Mei 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

LRA Sungai Selisek operasi semula, penduduk terima air mulai 4 petang

SHAH ALAM, 29 MEI: Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selisek di Hulu Selangor yang dihenti tugas berikutan pencemaran diesel pada sumber air mentahnya beroperasi semula jam 2 petang tadi, kata ketua komunikasi korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Elina Baseri berkata lapan kawasan di Hulu Selangor yang mengalami gangguan akan mula mendapat bekalan mulai 4 petang dan dijangka pulih sepenuhnya pada 12.30 tengah malam.

“Bantuan bekalan air kecemasan melalui lori tangki masih digerakkan ke kawasan terjejas sehingga bekalan air pulih sepenuhnya.

“Dalam tempoh ini pengguna dinasihatkan menggunakan air secara cermat,” katanya dalam kenyataan.

Perkembangan pemulihan air dari semasa ke semasa dikemas kini menerusi medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang di www.airselangor.com

Elina juga menggalakkan pengguna memuat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk mendapatkan maklumat terkini.

Kelmarin, sebuah lori tangki diesel dan van keselamatan terlibat dalam nahas di Kilometer 389.5 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan) berhampiran Behrang menyebabkan tumpahan diesel mengalir ke Sungai Siah.

Jaluran Sungai Siah masuk ke Sungai Bernam yang menjadi sumber bekalan kepada LRA Sungai Selisek.


Pengarang :