Wakil LZS menyerahkan barang keperluan kepada asnaf ketika Program Khidmat Masyarakat dan Ziarah Asnaf di Kampung Sentosa, Batang Kali, Hulu Selangor pada 21 Disember 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

LZS bantu lebih 60,000 keluarga asnaf, pastikan tidak tercicir

SHAH ALAM, 27 MEI: Seramai 63,112 keluarga asnaf fakir, miskin dan mualaf di Selangor disantuni meliputi aspek sosial, pendidikan, insan dan ekonomi sehingga Mac lalu.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) memaklumkan bantuan termasuk kewangan, makanan, sewa rumah, pendidikan, bantuan Ramadan dan Hari Raya serta mengikut keperluan keluarga asnaf.

“LZS sentiasa menambah baik pengurusan bantuan zakat agar lebih efisien bagi menangani peningkatan jumlah asnaf fakir dan miskin,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Agensi itu menjelaskan pihaknya sering turun padang dan menyiasat untuk memastikan pemohon memenuhi kriteria serta layak didaftarkan sebagai asnaf fakir dan miskin.

LZS berkata pihaknya turut mewujudkan Program Skuad Jejak Kemiskinan sejak 2011, melantik 2,000 penolong amil kariah, melaksanakan Haddul Kifayah baharu selain menubuhkan Skuad Saidina Umar tiga tahun lalu.

“LZS juga mewujudkan 23 kaunter ekspres bagi membantu asnaf mendapat bantuan kecemasan dalam tempoh dua jam, pelaksanaan tujuh kaunter zakat bergerak iaitu Zakat On Wheel dan bekerjasama dengan pelbagai pihak serta agensi bagi memastikan tiada asnaf tercicir,” katanya.


Pengarang :