AGENSISELANGOR

LZS taja lebih 16,000 pelajar dalam dan luar negara

SHAH ALAM, 27 MEI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menaja lebih 16,000 pelajar untuk melanjutkan pengajian di dalam dan luar negara sejak 2008.

Tidak terhad kepada jurusan pengajian Islam, agensi tersebut memaklumkan tajaan turut meliputi bidang perubatan, kejuruteraan, teknologi maklumat, perniagaan, perakaunan dan sijil kemahiran teknikal.

“Sejak sekian lama, wang Zakat Selangor dimanfaatkan untuk membiayai pengajian tinggi bagi ribuan pelajar fakir, miskin, mualaf mahupun fisabilillah.

“Daripada 16,000 yang ditaja, lebih 7000 pelajar menghabiskan pengajian mereka,” katanya melalui hantaran di Facebook.

LZS berkata untuk tajaan ke luar negara, pelajar dihantar ke Mesir, Jordan, Morocco, New Zealand, United Kingdom, Ireland, Australia dan Indonesia.

Agensi itu turut menjalinkan kerjasama dengan institut pengajian tinggi dan institut latihan kemahiran, sektor awam dan swasta bagi meningkatkan kebolehpasaran pelajar pembiayaan mereka.

“LZS memandang berat peranan pendidikan golongan asnaf kerana aspek ini membolehkan mereka mendapat pekerjaan seterusnya mengeluarkan keluarga mereka daripada kepompong kemiskinan,” katanya.


Pengarang :