AGENDANASIONAL

Macau Scam: Pesara wanita dakwa rugi hampir setengah juta ringgit

KUANTAN, 21 MEI: Seorang pesara wanita mendakwa kehilangan wang simpanan bernilai hampir setengah juta ringgit akibat terlalu mempercayai helah sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai atasan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa berusia 59 tahun itu mendakwa menerima panggilan telefon pada 29 April lalu, kononnya dari syarikat telekomunikasi berhubung aduan nombor telefon itu digunakan untuk aktiviti perjudian haram.

Mangsa yang menafikan dakwaan itu diarah bercakap dengan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk membuat laporan supaya tidak dikenakan tindakan undang-undang.

“Mangsa mendakwa telah menyerahkan semua maklumat peribadinya termasuk jumlah wang simpanan di tiga buah bank dan jumlah barang kemas, kenderaan serta rumah miliknya dalam proses ‘soal siasat’ menerusi panggilan telefon itu.

“Suspek juga dikatakan meminta nombor kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), nombor pengesahan kad (CVN) dan tarikh tamat kad ATM tersebut yang semuanya dijawab oleh mangsa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa kemudiannya dimaklumkan panggilan itu perlu dipindahkan kepada pegawai polis dari Pasukan Siasatan Jenayah Penggubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman untuk siasatan lebih menyeluruh.

Mangsa bercakap dengan seorang pegawai polis wanita yang memaklumkan bahawa wang simpanannya di tiga bank itu perlu dipindahkan bagi mengelak daripada dirampas.

“Mangsa mendakwa semakan terhadap akaun simpanannya semalam, mendapati terdapat 30 transaksi wang kepada 14 akaun bank yang tidak diketahuinya sejak 29 April hingga 15 Mei lalu berjumlah RM424,650.

“Mangsa cuba untuk menghubungi semula semua suspek berdasarkan nombor dalam rekod panggilan telefon bimbitnya, namun semua panggilan itu gagal disambungkan menyebabkan dia berasa ditipu,” katanya.

Mohd Wazir berkata mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Muadzam Shah, Rompin dekat sini semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

– BERNAMA


Pengarang :