Keadaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 10 Mac 2020 yang lengang susulan penularan Covid-19 di seluruh dunia. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

MAHB tambah SOP baharu perjalanan udara domestik operasi semula

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) meningkatkan tatacara operasi piawainya (SOP) dengan melaksanakan langkah keselamatan tambahan untuk memastikan keselamatan penumpang berikutan perjalanan udara domestik disambung semula.

Langkah baharu itu termasuklah menjadikan penggunaan pelitup muka sebagai wajib apabila memasuki bangunan terminal, menurut pengendali lapangan terbang itu dalam kenyataan hari ini, sambil menambah mereka yang tidak memakai topeng muka tidak akan dibenarkan masuk ke premis.

“Dengan beberapa laluan penerbangan domestik disambung semula, kami menjangka jumlah penumpang akan meningkat dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

“Kami ingin mengingatkan para penumpang untuk mematuhi langkah-langkah keselamatan yang telah dikuat kuasakan di semua lapangan terbang kami,” menurut MAHB, sambil menambah ia akan memudahkan Kementerian Kesihatan untuk melakukan ujian pantas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

MAHB berkata ia telah menguatkuasakan pintu masuk dan keluar yang terhad di KLIA, dan ia telah menempatkan pasukan Keselamatan Penerbangan untuk melakukan saringan ke atas penumpang bagi memastikan penggunaan topeng muka dan memeriksa suhu badan mereka.

Tempat pemeriksaan merangkumi pintu masuk ERL dari pintu masuk utara dan ‘link-bridge’, Aras 2 di tempat letak kereta jangka pendek bangunan terminal utama serta di pintu masuk utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dan pusat beli-belah gateway@klia2.

MAHB juga berkata hanya penumpang dengan tiket penerbangan atau pas masuk yang sah akan dibenarkan memasuki terminal, dan semua ‘meeter and greeter’ tidak akan dibenarkan masuk ke terminal.

Bagi terminal klia2, ‘meeter and greeter’ hanya dibenarkan masuk sehingga pusat beli-belah gateway@klia2.

“Semua penumpang yang akan berlepas perlu melalui saringan suhu sebelum dibenarkan memasuki bangunan terminal.

“Penumpang dengan suhu badan lebih 37.5 darjah celcius tidak akan dibenarkan untuk meneruskan perjalanan, ”katanya, sambil menambah jarak satu meter perlu diperhatikan semasa berada di terminal.

MAHB memberi jaminan kepada penumpang bahawa lapangan terbang telah dinyah kuman, dan aktiviti pembersihan dilakukan secara konsisten sejak bermulanya wabak COVID-19.

“Hanya minggu lepas, KLIA menjalani langkah pembasmian kuman sepenuhnya oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat tempatan untuk kedua-dua terminalnya,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :