AGENSISELANGOR

Mahkamah Syariah Selangor dibuka mulai 13 Mei – Jakess

SHAH ALAM, 4 MEI: Operasi hadir secara fizikal tanpa janji temu di mahkamah syariah seluruh negeri ini bermula 13 Mei depan, kata Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess).

Unit komunikasi korporatnya memaklumkan waktu operasi tersebut adalah dari Isnin hingga Jumaat bermula jam 8 pagi hingga 1 petang dan bersambung dari jam 2 hingga 3 petang.

“Orang awam yang hadir ke mahkamah dikehendaki memakai penutup hidung dan mulut serta diwajibkan melalui saringan kesihatan dengan memastikan penjarakan sosial dilaksanakan.

“Dilarang membawa kanak-kanak semasa berurusan di Mahkamah Syariah Selangor dan diingatkan mereka yang menghadapi masalah kesihatan dinasihatkan untuk menangguhkan tujuan hadir ke mahkamah sehingga didapati sembuh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebarang pertanyaan boleh dibuat dengan menghubungi talian 03-5519 1291 atau layari laman sesawang Jakess di www.jakess.gov.my.

Selain perkhidmatan mengambil perintah meterai bertulis, semua kes yang hendak difailkan atau dibicarakan mestilah disertakan dengan Surat Perakuan Segera yang menyatakan alasan-alasan menyokong permohonan untuk kes-kes tersebut dibenarkan difailkan dan dibicarakan.

Perkhidmatan yang ditawarkan adalah:

– Pemfailan dan perbicaraan kes tuntutan fasakh dengan alasan berlaku keganasan rumah tangga (disokong dengan laporan polis dan laporan perubatan)
– Pemfailan dan perbicaraan kes pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah
– Pemfailan dan perbicaraan kes penceraian dengan persetujuan bersama antara suami dan isteri
– Pemfailan dan merekodkan apa-apa kes yang berjaya mencapai penyelesaian secara persetujuan bersama
– Pemfailan kes yang melibatkan tempoh dan had masa (contoh: Notis Rayuan)
– Pemfailan dan perbicaraan kes permohonan Injunksi; dan
– Pengambilan perintah meterai bertulis (perlu buat janji temu awal terlebih dahulu)


Pengarang :