Selangorkini
AGENDA JENAYAH

Mahkamah tetapkan tarikh baharu bicara kes rasuah Abdul Azeez

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Mahkamah Sesyen di sini akan menetapkan tarikh baharu bagi perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan abangnya, Datuk Abdul Latif.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Abdul Azeez, memberitahu Bernama melalui mesej Whatsapp hari ini, bahawa mahkamah menetapkan 18 Mei ini untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh baharu perbicaraan di hadapan hakim Azura Alwi.

Perbicaraan kes dijadual bermula pada 16 Mac lalu tetapi ditangguhkan pada 16 dan 17 April serta 20 hingga 22 April berikutan permohonan Hisyham untuk bercuti sakit bermula 11 Mac sehingga 10 April disusuli pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Abdul Azeez, 53, menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah serta sembilan pertuduhan pengubahan wang haram hampir RM140 juta, manakala abangnya menghadapi dua pertuduhan bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Abdul Azeez.

Bagi pertuduhan rasuah, Abdul Azeez dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Cawangan Menara UAB, Jalan Tun Perak, di sini pada 8 Disember 2010 dan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Petaling, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Bagi kes pengubahan wang haram, dia dituduh melakukan kesalahan itu di sekitar Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.

Abdul Latif, 62, pula didakwa secara rasuah menerima wang tunai berjumlah RM4 juta daripada Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah, yang juga pengarah syarikat, Menuju Asas Sdn Bhd, sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek pembinaan jalan secara tender terhad daripada Kementerian Kerja Raya.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

-BERNAMA


Pengarang :