Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengagihkan 1,000 bungkus bubur lambuk kepada sembilan rumah anak yatim dan 13 rumah pemulihan al-Riqab di Selangor pada 18 Jun 2020. Foto ihsan Mais
AGENSISELANGOR

Mais ceriakan anak yatim, asnaf riqab dengan sumbangan bubur lambuk

SHAH ALAM, 18 MEI: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengagihkan 1,000 bungkus bubur lambuk kepada sembilan rumah anak yatim dan 13 rumah pemulihan al-Riqab di negeri ini hari ini.

Mais dalam kenyataan di Facebook memaklumkan, sebanyak RM4,400 wang tunai daripada Tabung Prihatin Covid-19 turut diserahkan kepada rumah kebajikan tersebut.

“Sumbangan ini bertujuan membantu meringankan beban dan menambah keceriaan anak-anak yatim dan asnaf riqab dalam menjalani ibadah puasa serta persiapan menyambut Syawal,” kata kenyataan itu.

Sumbangan itu turut mendapat kerjasama Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide), Syarikat QSR Brands (M) Holdings Bhd dan Adab Youth Garrage (AYG).

Syarikat QSR Brands turut menginfaqkan 44 kotak ayam mentah untuk diagihkan kepada penerima sumbangan.

Rumah anak yatim menerima sumbangan ialah Rumah Kasih Harmoni, Rumah Nor Barakah dan Rumah Anak Yatim Al-Faiz manakala bagi asnaf riqab, penerima adalah dari Rumah Astana Budi, Rumah Penawar, Rumah Puteri Arafiah, Rumah Darul Wardah, Rumah Saffiyah, Rumah Darul Ukhwah, Rumah Astana Budi, Rumah Raudhatus Sakinah dan Perkid Hulu Langat.

Sumbangan disampaikan Setiausaha Mais, Dr Ahmad Shahir Makhtar yang turut dihadiri Pengerusi Majlis Penasihat Syariah QSR Brands (M) Holdings Bhd, Datuk Haji Mustafha Abdul Razak.


Pengarang :