Petugas Kementerian Kesihatan melakukan saringan Covid-19 kepada peniaga dan ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di Dewan Beringin Taman Sri Gombak pada 15 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Malaysia antara negara Asean paling banyak saring Covid-19

SHAH ALAM, 15 MEI: Malaysia muncul antara negara paling banyak menjalankan ujian saringan Covid-19 dalam rantau Asean, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata setakat ini seramai 424,306 individu disaring dengan 6,855 daripadanya positif.

“Selebihnya (417,451) adalah negatif. Ini menunjukkan Malaysia antara negara yang menjalankan ujian saringan Covid-19 paling banyak dalam kalangan negara Asean,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata pengesanan jangkitan melalui sistem e-Covid berupaya mengumpul maklumat di lapangan dengan berkesan, cepat dan tepat.

Katanya, usaha tersebut mendapat kerjasama Majlis Keselamatan Negara dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

“Ini pencapaian yang baik berbanding sebelum ini. Semua data dari lapangan dan makmal dilaporkan secara manual,” katanya lagi.


Pengarang :