BERITA UTAMASELANGOR

MB: Guna aplikasi SELangkah di premis serta-merta

SHAH ALAM, 6 MEI: Penggunaan aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) di semua premis kerajaan dan swasta dilaksanakan berkuat kuasa serta-merta, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata semua premis sama ada pejabat atau perniagaan termasuk restoran, kompleks membeli-belah dan pusat kesihatan yang diselia pihak berkuasa tempatan (PBT) diwajibkan menggunakan imbasan kod QR janaan portal penjejak ‘contact tracing’ SELangkah.my .

“Portal ini berfungsi sebagai buku log elektronik berpusat yang memelihara rekod kedatangan individu ke mana-mana premis. Keputusan ini dibuat selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pagi tadi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Amirudin berkata penguatkuasaan meluas sistem itu melengkapi usaha Kerajaan Persekutuan mewujudkan aplikasi MyTrace sebagai semakan berganda mengesan kontak Covid-19 dalam usaha mengekang penularan wabak itu.

Orang awam boleh melayari www.selangkah.my atau menghubungi talian utama ‪03-55138898‬ / ‪0143025655 bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Isnin lalu, Kerajaan Selangor memperkenalkan SELangkah (iaitu sistem pendaftaran keluar masuk individu ke premis perniagaan atau jabatan kerajaan bagi menjejak jangkitan Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata konsep SELangkah bertujuan melindungi premis perniagaan, pelanggan dan pasukan barisan hadapan dengan mudah dan pantas.


Pengarang :