Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari pada majlis Penyerahan Sumbangan Al-Quran Wakaf Yayasan Restu kepada petugas barisan hadapan Dan Pusat Kuarantin Covid-19 di Shah Alam pada 9 Mei 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB: Guna teknologi pintar pulih ekonomi

SHAH ALAM, 9 MEI: Kerajaan Negeri menggunakan sepenuhnya teknologi pintar dalam usaha merangsang serta memulihkan ekonomi selepas krisis Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri menekankan teknologi digitalisasi dan e-dagang untuk memacu ekonomi ke hadapan selaras dengan sasaran menjadi negeri pintar menjelang 2025.

“Kita perlu gunakan sepenuhnya teknologi masa depan untuk melengkapkan sasaran ke arah negeri pintar terunggul, kita akui ia bukan mudah tetapi kita akan cuba cari keseimbangan.

“Saya juga ada bertemu dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bagi memastikan rakyat Selangor turut mendapat manfaat daripada dasar Kerajaan Pusat,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Al-Quran Wakaf Yayasan Restu kepada Petugas Barisan Hadapan dan Pusat Kuarantin Covid-19 di Kediaman Rasmi Menteri Besar.

Dalam perutusan Hari Pekerja pada 1 Mei lalu, Dato’ Menteri Besar berkata Selangor mahu menghidupkan semula ekonomi negeri bagi memastikan kualiti kehidupan semua golongan pekerja terjamin.

Beliau berkata Kerajaan Negeri menyedari petani, nelayan dan peniaga antara golongan paling terancam berikutan penularan Covid-19.

Amirudin berkata peranan kerajaan penting dalam menyediakan ekosistem yang mampu mencipta kerjaya dan kekayaan untuk membiayai kehidupan rakyat tanpa sesiapa pun tertinggal.


Pengarang :