Dato’ Seri Amirudin Shari menerima al-Quran pada majlis Penyerahan Sumbangan Al-Quran Wakaf Yayasan Restu kepada petugas barisan hadapan dan Pusat Kuarantin Covid-19 di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, Seksyen 7 Shah Alam pada 9 Mei 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: Jadikan al-Quran pedoman mula kebiasaan baharu

SHAH ALAM, 9 MEI: Dato’ Menteri Besar mengajak umat Islam menghayati peristiwa Nuzul al-Quran sebagai pedoman memulakan kebiasaan baharu susulan penularan Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata umat Islam perlu mengamalkan segala kandungan al-Quran yang menjadi petunjuk kehidupan di dunia sehingga perjalanan ke akhirat.

“Dahulu al-Quran diturunkan pada era masyarakat jahiliah yang membunuh anak perempuan, menyembah berhala, menghambakan orang dan pelbagai amalan tidak elok.

“Kebiasaan baharu yang dibawa al-Quran yang melarang perbuatan masyarakat jahiliah ditentang, tetapi lama-kelamaan ia diterima menjadi perkara rutin masyarakat Islam sehingga sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Al-Quran Wakaf Yayasan Restu kepada Petugas Barisan Hadapan dan Pusat Kuarantin Covid-19 di kediaman rasminya hari ini.

Amirudin berkata peranan dan sumbangan al-Quran sangat besar kepada komuniti dunia dan masyarakat Islam khususnya.

“Jadi saya mengajak rakyat mempraktik kebiasaan baharu yang mungkin pada awalnya menjadi masalah besar, tetapi lama-kelamaan ia akan menjadi perkara biasa kepada kita.

“Mungkin tahun ini semuanya berbeza dengan keadaan negara yang berperang dengan Covid-19, namun yakinlah kebiasaan baharu ini akan membawa kebaikan kepada kita semua,” katanya.


Pengarang :