Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sidang media selepas Sesi Taklimat Dan Perkongsian : Pejabat Koordinasi Industri Aeroangkasa Selangor Darul Ehsan ( S-DAICO) di Bilik Mesyuarat MTES, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 18 Mei 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Junjung titah Sultan, hayati nilai politik berteras kejujuran

SHAH ALAM, 18 MEI: Semua pihak dituntut menghayati nilai politik berteraskan kejujuran terutama ketika negara bertarung dengan Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ahli politik perlu menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor yang mengingatkan supaya tidak mengucar-kacirkan pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Kita semua ada tanggungjawab lebih besar untuk diselesaikan, janganlah kita mempolitikkan semua benda, sepatutnya kita tahu bezakan.

“Ketika ini perkara paling penting adalah untuk memerangi Covid-19 yang mana virus tersebut menjadi ancaman kepada nyawa kita,” katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor, hari ini.

Pada 16 Mac lalu, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ketika bertitah pada istiadat pembukaan sidang Dewan Negeri Selangor penggal ke-14 mengingatkan Ahli Dewan Negeri supaya tidak mengucar-kacirkan pentadbiran kerajaan Selangor.

“Beta tidak mahu ada dalam kalangan ahli-ahli Yang Berhormat yang mempunyai hasrat dan niat untuk mengucar-kacirkan pentadbiran dan pemerintahan negeri Selangor,” titah baginda.

Titah baginda rakyat penat dan gelisah melihat pergolakan politik yang melanda negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 sedangkan negara ketika ini berdepan kemelesetan ekonomi dan Covid-19.

“Ahli politik dilihat sering berbalah dalam isu politik yang tiada kesudahan sehingga melupakan tanggungjawab sebenar mereka untuk melaksanakan amanah untuk mentadbir faedah kesejahteraan rakyat,” titah baginda.

 


Pengarang :