Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Pakej Rangsangan Selangor Prihatin 2.0 di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 1 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB kecam ugutan terhadap dua ADN wanita Selangor

SHAH ALAM, 27 MEI: Dato’ Menteri Besar mengecam sekeras-kerasnya jenayah gangguan seks terhadap dua Ahli Dewan Negeri (ADN) wanita di negeri ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata gangguan diterima ADN Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin dan ADN Kampung Tunku, Lim Yi Wei adalah satu bentuk jenayah serius dan tidak bertanggungjawab.

“Kedua-dua individu ini adalah ADN Selangor dan pemimpin wanita muda yang cakna terhadap pembangunan golongan tersebut. Saya berharap agar mereka yang bersalah akan diberi hukuman setimpal dan yakin pihak berkuasa akan menyiasat serta mengambil tindakan,” katanya menerusi twitter malam ini.

Amirudin berkata Selangor adalah sebuah negeri yang mengangkat martabat wanita sebagai pembuat keputusan dan penggubal dasar, selain sentiasa prihatin terhadap keselamatan kaum berkenaan.

“Semoga kejadian tidak diingini ini akan dihentikan agar kaum terbabit merasa selesa dan selamat untuk menyuarakan pendapat mereka dalam masyarakat,” katanya.

Hari ini, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal mengesahkan menerima laporan daripada Jamaliah pada 22 Mei lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 507, Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Bagaimanapun katanya, Yi Wei yang turut mendakwa menerima gangguan sama masih belum tampil membuat laporan polis.

Mereka menerima ancaman itu dari seorang pemilik akaun Facebook yang memuat naik kenyataan berbaur gangguan seks.

Terdahulu Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam perbuatan itu dan menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan segera.


Pengarang :