Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media Pengumuman Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Covid-19 di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, Seksyen 7 Shah Alam pada 20 Mac 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGIRKINI
AGENSISELANGOR

MB: Kejayaan kemanusiaan di sebalik ujian Covid-19

SHAH ALAM, 1 MEI: Di sebalik cabaran wabak Covid-19, masyarakat sedang mencipta kejayaan dari segi kemanusiaan, kata Dato’ Menteri Besar Selangor.

Dato’ Seri Amirudin Shari dalam pengisian sempena Program Selangor Bertadabbur berkata ujian menyebabkan kita kembali mengamalkan nilai kemanusiaan yang sudah terhakis dalam dunia moden.

Sebagai contoh, katanya, masyarakat kini kembali mengambil berat hal jiran sama ada mereka sudah makan atau dalam kelaparan, selain menjaga sesama sendiri.

“Kita ambil berat tentang komuniti, saling menyumbang dan saling berpesan dengan kesabaran demi kesabaran,” katanya menerusi video penyampaian pengisian dimuat naik ke Facebook Asatizah Selangor-ANAS hari ini.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar mentadabbur ayat 156-157 daripada surah al-Baqarah berkaitan Hikmah Di Sebalik Ujian.

Berdasarkan ayat 157, Amirudin berkata ulama tersohor tradisi Islam, Imam Izzuddin Abdul Salam menyatakan salah satu faedah penting di sebalik musibah ialah menjadikan manusia mengenali kelemahan sifatnya.

Katanya, dalam berhadapan ujian seseorang individu itulah yang membuat keputusan sama ada bersifat sabar atau tertekan, reda atau tidak serta optimis mahupun pesimis.

“Begitu jugalah keadaan dengan ujian Covid-19. Kita hendaklah berusaha tergolong dalam kalangan orang yang kembali kepada Allah dengan memohon ampun atas segala kesalahan sesama manusia serta terhadap alam sekitar dan sekeliling.

“Kita juga memohon kepada Allah agar menghilangkan segera virus berbahaya ini, teknologi dan doa,” katanya.


Pengarang :