Dato’ Amirudin Shari bercakap kepada media selepas meninjau kawasan tanah runtuh di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa pada 30 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB: Kerajaan Negeri bertindak segera, bina tembok penahan

SHAH ALAM, 30 MEI: Kerajaan Negeri mengambil langkah segera menangani kejadian tanah runtuh di Taman Ukay, Bukit Antarabangsa dengan mengarahkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) membina tembok penahan dekat kawasan tersebut hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri juga akan berbincang penyelesaian jangka panjang insiden terbabit dengan MPAJ serta agensi berkaitan pada kadar segera.

“Antara langkah segera yang akan diambil adalah pembinaan tembok penahan oleh MPAJ pada hari ini dengan anggaran kos berjumlah RM2 juta dan akan dibiayai oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Pekerja kontraktor sedang membersih sekitar kawasan tanah runtuh di Taman Kelab Bukit Antarabangsa, Ukay Perdana pada 30 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor akan turut memperbaiki anak sungai di bawah cerun bermula hari ini dengan anggaran kos sebanyak RM400,000,” katanya selepas melawat kawasan lokasi kejadian hari ini.

Sehubungan itu, Amirudin berharap penduduk terjejas bersabar sementara kerja pembaikan siap dalam tempoh enam bulan.

Kira-kira 40 penghuni daripada tujuh rumah di Taman Kelab Ukay Bukit Antarabangsa diarah mengosongkan kediaman masing-masing susulan kejadian tanah runtuh di belakang rumah mereka pada pukul 2.21 pagi tadi.


Pengarang :