Gambar sebelum dan selepas kerja pelebaran Sungai Batu di Kampung Sungai Kertas yang dikongsikan Dato’ Menteri Besar di laman sosial miliknya
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Kerja lebar sungai atasi banjir di Batu Caves siap sepenuhnya

SHAH ALAM, 7 MEI: Kerja pelebaran Sungai Batu di Kampung Sungai Kertas, Batu Caves bagi menangani isu banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua siap sepenuhnya.

Perkara tersebut dimaklumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebooknya hari ini.

“Kerja melebarkan Sungai Kertas dilaksanakan sebagai usaha menangani banjir kilat akibat hujan lebat. Kerja ini berjaya disiapkan untuk kesejahteraan penduduk Sungai Tua,” tulisnya.

Penduduk sekitar DUN Sungai Tua terpaksa berdepan insiden banjir selama dua hari berturut-turut sejak 25 April lalu.

Kejadian sama turut dilaporkan di Kampung Sungai Kertas, Kampung Sungai Tua Tambahan, Kampung Laksamana, Kampung Nakhoda, Kampung Indian Settlement Batu Caves dan Kampung Arab di Selayang Baru.

Susulan itu, Kerajaan Negeri pada 27 April lalu memaklumkan akan mengambil langkah segera bagi mengatasi masalah berkenaan.

Sementara itu, Pusat Khidmat Rakyat DUN Sungai Tua dalam kenyataan di Facebook berterima kasih kepada Amirudin atas keprihatinan dan tindakan segera melebarkan sungai.

“Semoga pelebaran sungai ini dapat mengatasi masalah banjir yang kian menghantui penduduk Kampung Sungai Kertas dan sekitar DUN Sungai Tua. Terima Kasih Dato’ Menteri Besar,” katanya.


Pengarang :