Peniaga Restoran Al Falah Noori di Seksyen 20, Shah Alam beroperasi seperti biasa susulan Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB: Makan di restoran dibenarkan, pastikan jarak sosial

SHAH ALAM, 12 MEI: Semua restoran di Selangor kini dibenarkan beroperasi sepenuhnya termasuk makan dan minum di dalam premis dari jam 7 pagi hingga 10 malam tertakluk kepada pematuhan penjarakan sosial, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata ketetapan dibuat selepas persidangan bersama datuk bandar, yang dipertua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pegawai daerah seluruh negeri ini pagi tadi susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun 2020.

Bagaimanapun, beliau berkata peniaga restoran digalakkan memberi pilihan pratempahan kepada pelanggan bagi mengelak kesesakan di dalam kedai.

“Penjaja makanan dalam kategori tidak berpremis (kendera saji dan penjaja tepi jalan) boleh mula beroperasi 8 pagi hingga 10 malam namun terhad kepada pandu lalu, bungkus dan penghantaran sahaja. Membuka meja di kawasan kaki lima serta parkir tidak dibenarkan.

“Penguat kuasa PBT akan turut membuat pemeriksaan mengejut dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) yang dikuatkuasa berada di tahap optimum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, aktiviti pasar selain daripada bentuk penyembelihan dibenarkan beroperasi seperti biasa dan larangan operasi pasar pagi dan pasar malam adalah kekal buat masa ini.

“Sebarang bentuk aktiviti penyembelihan dan pemprosesan haiwan seperti ayam di pasar awam, pasar borong, pasar segar dan pasar swasta adalah tidak dibenarkan,” katanya.

Pada 10 Mei lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan empat minggu lagi sehingga 9 Jun 2020.


Pengarang :