Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari semasa menunaikan solat Aidilfitri bersama ahli keluarganya di Kediaman Rasmi Menteri Besar di Shah Alam pada 24 Mei 2020. Foto Twitter Amirudin Shari
SELANGOR

MB masak dodol, lemang untuk diagih kepada jiran

SHAH ALAM, 28 MEI: Sambutan Aidilfitri ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) memberi peluang Dato’ Menteri Besar mengembalikan nostalgia raya di kediaman sendiri.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jika di kampung keluarganya akan memasak juadah dalam kuantiti banyak untuk diedarkan kepada jiran tetangga.

“Tahun ini saya cuba praktikkan di rumah. Jumaat lalu saya masak dodol dan lemang manakala isteri memasak rendang. Semua juadah ini kami agihkan ke 20 hingga 30 rumah,” katanya ketika temu bual pada program Cendol Aidilfitri anjuran Institut Darul Ehsan hari ini.

Mengimbau kenangan sambutan Aidilfitri di kampung Amirudin berkata, hari raya pertama akan dihabiskan dengan berkunjung ke semua rumah.

“Raya pertama di kampung kita akan habiskan (raya) semua rumah. Kampung saya tak banyak rumah dalam 40 ke 50 rumah sahaja.

“Kami akan berjalan beramai-ramai dipanggil baraan. Masa ini kita akan jumpa kawan-kawan yang lama tak jumpa. Tak perlu dah buat rumah terbuka,” katanya.

Amirudin berkata, walaupun sambutan Aidilfitri kali ini berbeza namun semangat menyambut suasana raya masih tetap sama.

“Sebelum ini banyak sangat aktiviti masa raya tapi kali ini banyak masa terluang,” katanya.

Amirudin dilantik sebagai EXCO pembangunan belia, sukan, kebudayaan dan pembangunan keusahawanan pada 2013 sebelum menjadi menteri besar lima tahun kemudian.


Pengarang :