Majlis Doa Selamat Dan Solat Hajat Kesejahteraan Negeri Selangor di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Nilai kekeluargaan tetap terjalin walau tiada ziarah raya

SHAH ALAM, 22 MEI: Nilai kekeluargaan dan kesepakatan kejiranan harus dikekalkan meskipun tidak ada aktiviti kunjung mengunjung dan rumah terbuka tahun ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata melalui saluran dalam talian jalinan kekeluargaan masih tetap boleh dikekalkan.

“Alhamdulillah saat ini kita sudah berada di hari terakhir Ramadan. Bulan mulia ini juga dianggap sebagai bulan latihan jiwa dan mengukuhkan kesabaran.

“Sepuluh hari terakhir ini, kita dinasihatkan untuk menjadikannya sebagai medan mujahadah bagi kita yang mahu mencicip rahmat, keampunan dan kesejahteraan yang dijanjikan-Nya pada malam al-Qadr sehingga fajar menjelma walau hanya untuk sesaat,” katanya dalam Perutusan Syawal hari ini.

Amirudin berkata Ramadan yang disambut ketika penularan Covid-19 dapat menghindarkan aktiviti pembaziran seperti kelaziman setiap tahun.

Antaranya majlis berbuka puasa bersama anak yatim dan fakir miskin di hotel lima bintang serta program sumbangan bantuan yang menayangkan replika cek.

“Program yang asalnya mempromosi kebaikan tetapi lama kelamaan mampu melahirkan kepura-puraan yang membawa kepada pembaziran.

“Dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini juga tiada solat terawih beramai-ramai di masjid dan surau yang dipimpin oleh imam jemputan berdarah Arab baik dari Palestin mahupun Mekah.

“Tiada juga memperagakan kain pelikat, jubah terkini ataupun telekung elit yang pasti mahal, mengerlip, yang kadangkala melahirkan perbuatan banding-membanding antara kita,” katanya.


Pengarang :