AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Penduduk KL, Pahang turut guna aplikasi SELangkah

SHAH ALAM, 15 MEI: Aplikasi SElangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) yang dibangunkan Kerajaan Selangor bagi menjejak jangkitan Covid-19 turut digunakan di negeri lain, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penduduk Kuala Lumpur, Pahang dan beberapa negeri lain turut mengguna pakai aplikasi tersebut yang setakat ini digunakan lebih sejuta kali sejak diperkenal pada 4 Mei lalu.

“Kita bukan mahu jadikan SELangkah sebagai hak eksklusif tapi kita mahu bantu Kementerian Kesihatan kesan (berdasarkan) data individu yang mungkin dijangkiti wabak itu,” katanya ketika menjadi ahli panel Wacana Post Covid-19: Quo Vadis Anak Muda menerusi siaran langsung Facebook malam tadi.

Kedai rangkaian terkenal yang memiliki cawangan di luar Selangor turut menggunakan aplikasi itu antaranya 7-Eleven, Al-Ikhsan Sports, Giant Hypermarket, JM Beriana House, F&N Coco Cola (M) Sdn Bhd, , Coffee Bean & Tea Leaves, SP Setia, Chilli’s.

Amirudin juga menjelaskan aplikasi seumpama itu ada dibangunkan negara lain termasuk Korea dan Taiwan tetapi penggunaan SELangkah jauh lebih mudah.

“Hanya perlu imbas kod QR dan kita akan dapat jejak individu sekiranya terdapat jangkitan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata ia cetusan idea Dr Helmi Zakariah, anggota Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) yang memiliki kepakaran dalam bidang teknologi dan pengesanan kesihatan awam.

“Kita cuba gabungkan data analisis yang ada untuk kawal pandemik dan kita lihat penjejakan kontak amat penting,” katanya sambil menegaskan keselamatan data peribadi pengguna terjamin.

“Kita ingin tegaskan aplikasi ini hanya guna nombor telefon sahaja dan membuat penjejakan tanpa membocorkan data peribadi individu,” katanya.

SELangkah diperkenalkan bagi menjejak jangkitan virus di mana-mana premis perniagaan atau pejabat bagi mencegah penularan Covid-19.

Pemilik premis hanya perlu mencetak kod QR melalui portal selangkah.mbiselangor.com.my atau selangkah.my dan mempamerkannya manakala pengunjung mengimbas kod itu.

Selain Amirudin, wacana kendalian Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Pinji di Perak iaitu Howard Lee Chuan How turut disertai Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.


Pengarang :