AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Aplikasi SELangkah diperluaskan kepada penjaja

SHAH ALAM, 7 MEI: Aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) yang dibangunkan Kerajaan Selangor bukan hanya digunakan di premis kerajaan dan swasta, sebaliknya diperluaskan kepada golongan penjaja bagi menjejak jangkitan Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penjaja yang memulakan operasi mulai 12 Mei ini diwajibkan mencetak kod QR melalui portal selangkah.mbiselangor.com.my atau selangkah.my  sebelum mempamerkannya di gerai masing-masing manakala pengunjung perlu mengimbas kod tersebut.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat telesidang bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan Ahli Dewan Negeri di Bilik Gerakan Negeri, SUK Shah Alam pada 4 Mei 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Tindakan ini sebagai langkah berhati-hati Kerajaan Negeri mengawal penularan pandemik tersebut di samping menggerakkan semula ekonomi,” katanya ketika ditemu bual Agenda Awani menerusi panggilan Skype malam ini.

Amirudin berkata, insiatif dalam talian itu juga membenarkan premis perniagaan persendirian atau peniaga di rumah untuk menggunakan SELangkah.

“Ketika ini kita ada 700,000 syarikat yang berdaftar. Premis persendirian yang menjalankan perniagaan di rumah juga boleh menggunakannya,” kata beliau.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya bersedia sekiranya SELangkah mahu digunakan pada peringkat Persekutuan.

Aplikasi tersebut diperkenalkan 4 Mei lalu bertujuan menjejak jangkit kontak di mana-mana premis bagi mencegah penularan virus itu.

Ia tidak mendedahkan butiran peribadi pengguna sebaliknya hanya merekodkan masa dan tempat yang dikunjungi individu berkenaan.


Pengarang :