Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan Selangor e- Bazaar Raya di Bilik MTES SUK, Shah Alam pada 5 Mei 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEKONOMISELANGOR

MB: Selangor juara e-dagang, angkat martabat PKS, peniaga mikro

SHAH ALAM, 19 MEI: Sebanyak RM101.1 juta jualan dikutip dalam dua minggu hasil usahasama Kerajaan Negeri membawa sekitar 3,542 peniaga mikro dan pengusaha perusahaan kecil sederhana (PKS) di Selangor berniaga secara dalam talian, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kempen E-Bazar Raya bersama Shopee mengumpulkan peniaga Hijrah, PKNS Prec, Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (Sitec) serta Agro Selangor berjaya melampaui sasaran asal RM8 juta dengan peningkatan jualan melebihi 1,250 peratus.

Katanya, manakala kerjasama pintar antara syarikat e-panggilan terkemuka Grab bersama Pemerbadanan Menteri Besar (MBI Selangor) dan Platform Selangor berjaya memperolehi jualan terkumpul E-Bazar Ramadan sebanyak RM1.52 juta sepanjang bulan ini.

“Ia sekali gus memberi manfaat lebih 133 peniaga makanan e-dapur di seluruh Selangor.

“Inisiatif Kerajaan Negeri membuahkan hasil apabila langkah inovatif perekrutan peniaga konvensional kepada dalam talian berjaya mencatatkan jualan sangat memberangsangkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata dengan prestasi sebaik ini, Kerajaan Negeri sedia terus melabur dan mengupayakan ekosistem PKS kerana ia merupakan tulang belakang sebenar industri yang mencipta nilai dan kekayaan.

“Kerajaan Negeri percaya keupayaan e-dagang sebagai penawar kepada kelembapan dibawa Covid-19 dan strategi digitalisasi itu menjadi penjana ekonomi untuk masa akan datang,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor melancarkan inisiatif “Selangor E-Bazaar Raya” dengan kerjasama platform dalam talian Shopee bertujuan menawarkan peluang perniagaan kepada usahawan memasarkan produk.

Program ini memberi kemudahan kepada orang ramai mendapatkan keperluan sempena Aidilfitri seperti kuih-muih, barangan kelengkapan rumah, pakaian dan sebagainya dengan banyak pilihan dan harga murah.

Untuk menjayakan Program Selangor E-Bazar Raya bersama Shopee ini, Kerajaan Negeri Selangor bersetuju menyalurkan peruntukan RM 1 juta dalam bentuk baucer diskaun.


Pengarang :