Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Sesi Taklimat dan Perkongsian: Pejabat Koordinasi Industri Aeroangkasa Selangor Darul Ehsan (S-DAICO) di Bilik Mesyuarat MTES, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 18 Mei 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Selangor sasar pemain utama aeroangkasa global 2030

SHAH ALAM, 18 MEI: Selangor menyasarkan menjadi pemain utama industri aeroangkasa di peringkat global sepuluh tahun lagi, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha tersebut diperkukuh menerusi pelaksanaan Pelan Tindakan Aeroangkasa yang dikendalikan Pejabat Koordinasi Industri Angkasa Selangor Darul Ehsan (S-DAICO).

“Pelan hala tuju industri akan memberikan impak terhadap pembangunan dan perkembangan industri aeroangkasa terutama dalam memperkasakan ekosistem industri sedia ada di Selangor.

“Lima skop aktiviti dikenal pasti sebagai pemacu utama iaitu penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih; pembuatan; sistem integrasi; kejuruteraan dan reka bentuk serta pendidikan dan latihan,” katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor hari ini.

Amirudin berkata sebanyak 62 peratus syarikat aeroangkasa beroperasi di Selangor ketika ini dan jumlah tersebut dijangka terus meningkat.

Katanya, menjelang 2030, aktiviti pembuatan aeroangkasa di Malaysia mengunjurkan pendapatan RM21.2 bilion, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (RM20.4 bilion) manakala kejuruteraan dan reka bentuk (RM13.6 bilion).

“Sejak dahulu Malaysia dan Selangor berjaya bangkit semula setelah dilanda pelbagai situasi meruncing sama ada disebabkan peperangan atau penularan pandemik.

“Kita akui banyak perancangan terpaksa dirombak dan disusun semula tetapi kita juga cukup yakin mampu bangkit sekali lagi,” katanya lagi.


Pengarang :