Selangorkini
Seorang pengunjung membelek pakaian di salah sebuah kedai di Kompleks PKNS, Shah Alam yang kembali beroperasi bermula 6 Mei 2020 selepas ditutup sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Selangor setuju ekonomi dibuka tapi perlukan masa

SHAH ALAM, 8 MEI: Selangor menyambut baik langkah kerajaan membuka semula sektor ekonomi ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersayarat (PKPB), namun terikat dengan masa singkat untuk melaksanakannya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya memerlukan masa untuk meneliti tatacara operasi piawai (SOP) PKPB sebelum membenarkan semua sektor beroperasi bermula 4 Mei lalu.

“Kita tiada masa (cukup untuk meneliti SOP), sebab itu Kedah hanya laksanakan hari ini (semalam) dan Kelantan pada Jumaat selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Dalam mesyuarat terakhir, kita tidak dibentangkan satu persatu kerana ia (SOP) tebal dan kita faham, justeru wajar beri masa. Perbincangan dengan Perdana Menteri juga beri ruang untuk kita sesuaikan dengan sekeliling, persekitaran, daerah dan lokaliti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program temu bual bersama Astro Awani melalui Skype malam tadi.

Pada 3 Mei lalu, Selangor mengumumkan pengubahsuaian garis panduan PKPB bagi memperketatkan kawalan susulan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi bermula 4 Mei.

PKPB Diubahsuai hasil runding cara membabitkan Majlis Keselamatan Negara Selangor, Bilik Gerakan Covid-19 Selangor, Pasukan Petugas Covid-19 Selangor dan pihak berkuasa tempatan.

Antara diputuskan ialah restoran, penjaja dan peniaga berpremis dibenarkan beroperasi mulai 4 Mei tetapi terhad kepada urusan bawa pulang dan penghantaran manakala peniaga tanpa premis hanya boleh beroperasi selepas 12 Mei.

Selain itu, industri pembinaan dibenarkan beroperasi pada kadar maksimum tetapi syarikat harus menyediakan Pelan Tindakan Keselamatan Kawalan Penularan Wabak Covid-19.

Bagi sektor sosial, orang awam boleh melakukan aktiviti senaman di kawasan lapang dan taman komuniti dengan mengamalkan penjarakan sosial.


Pengarang :