Dato’ Seri Amirudin Shari ditemui SelangorKini selepas menyerahkan juadah berbuka puasa di Pusat Khidmat Dun Sungai Tua, Batu Caves pada 8 Mei 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Terap kemahiran baharu kepada pekerja, atasi pengangguran

BATU CAVES, 8 MEI: Selangor akan memfokuskan usaha meningkatkan kemahiran baharu dalam kalangan pekerja dan graduan negeri ini bagi mengatasi masalah pengangguran kesan penularan Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pendekatan itu penting supaya golongan berkenaan mampu mengadaptasi kewujudan norma baharu dalam persekitaran pekerjaan semasa selepas wabak tersebut.

“Antara usaha yang akan ditangani selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat ialah menyediakan ruang penempatan serta menyusun semula pekerjaan dengan menawarkan kemahiran baharu dalam kalangan pekerja dan siswazah.

“Ia penting memandangkan konteks pekerjaan dan perniagaan sudah mula berubah selepas PKP, misalnya e-dagang dan e-panggilan yang dilihat semakin berkembang pantas,” kata beliau selepas serahan juadah berbuka puasa di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Tua di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata pihaknya juga akan menyediakan latihan secepat mungkin kepada sebahagian pekerja yang kehilangan punca pendapatan berikutan krisis tersebut.

“(Latihan ini) mungkin (diberikan kepada mereka) yang terpaksa kehilangan kerja dan bagaimana untuk mereka mendepani Revolusi Industri 4.0, e-dagang serta digitalisasi,” katanya.

Hari ini, Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin mendedahkan jumlah pengangguran pada Mac meningkat 17.1 peratus iaitu 610,500 orang berbanding 521,300 orang pada tempoh sama tahun lalu.

Katanya, peningkatan itu menjadikan kadar pengangguran pada Mac bertambah kepada 3.9 peratus yang dipengaruhi impak negatif PKP ke atas pasaran buruh.

Terdahulu, Amirudin menyerahkan 500 bungkus juadah berbuka puasa kepada ketua kampung untuk diagihkan  buat penduduk di DUN Sungai Tua


Pengarang :