Penduduk Mohd Fitri Mokhtar menyalakan satu daripada 200 pelita bagi menghasilkan frasa ‘Raya KL Je’ ketika tinjauan di Kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) Sungai Besi pada 21 MEI 2020. FOTO: BERNAMA
AGENDANASIONAL

MB: Wabak Covid-19 buka ruang muhasabah, kembali kepada fitrah manusia

SHAH ALAM, 22 MEI: Di sebalik ancaman Covid-19, pandemik ini juga dilihat mampu mengembalikan norma mulia atau kebiasaan nyata (the real normal), kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari mengakui wabak itu memberi keresahan serta menyusahkan namun ia membuka ruang terbaik bermuhasabah dan kembali kepada fitrah kemanusiaan.

“Kegilaan glamor dan budaya konsumerisme berlebihan telah mengherotkan nilai kehidupan yang baik dalam rutin seharian termasuk dalam konteks ibadah.

“Bagi saya, mungkin inilah makna kemenangan kembali kepada fitrah setelah sebulan berjuang di medan Ramadan,” katanya dalam Perutusan Aidilfitri hari ini.

Amirudin berkata, dalam tempoh antara 10 hingga 15 tahun ini, budaya takbir raya rumah ke rumah atau marhaban ‘disewakan’ kepada kumpulan jemaah selain kanak-kanak memilih rumah yang memberi duit raya yang banyak.

“Budaya kunjung-mengunjung bercirikan ukhwah adakala cair dalam gemerlap perhiasaan dan kebendaan, jauh meninggalkan pengukuhan hubungan keluarga dan kejiranan,” katanya.

Beliau berkata dalam keadaan ketika ini semua harus bersyukur kerana masih boleh berpuasa, berbuka dan berterawih dengan penuh jujur serta beribadat tanpa menunjuk-nunjuk.

“Begitu juga dangan raya. Kebiasaannya ada yang balik kampung untuk bandingkan anak siapa berjaya, menantu mana bergaya menyebabkan silaturahim tinggal menjadi permukaan sahaja,” katanya.


Pengarang :