Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari melihat penggunaan sistem digital Kita2Kita Selangor (K2K) pada majlis Penyerahan Sumbangan Hari Raya MBI di Dewan AU2 Keramat, Hulu Kelang pada 20 Mei 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MBI agih sumbangan raya guna kod QR

HULU KELANG, 20 MEI: Kerajaan Negeri menggunakan konsep teknologi imbasan kod QR bagi pengagihan sumbangan Aidilfitri kepada kira-kira 2,000 penerima yang layak di sekitar Gombak, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sistem digital Kita2Kita (K2K) Selangor yang pertama kali digunakan membantu memudahkan proses pendaftaran secara dalam talian sekali gus mengelakkan ketirisan maklumat penerima.

“Tiga pusat dibuka tahun ini dan penyampaian bantuan ditentukan oleh sistem pengesanan melalui digital iaitu peserta akan menerima kod QR yang perlu diimbas untuk mengesahkan dirinya adalah penerima sah.

“Sebelum ini mereka yang datang perlu beratur dan diberikan secara manual oleh wakil rakyat, tetapi kali ini proses lebih lancar malah kita dapat menentukan ketepatan penerima,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Hari Raya Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor Daerah Gombak di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) AU2 di sini hari ini.

Sumbangan makanan asas diagihkan kepada penduduk di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) daerah berkenaan membabitkan warga emas, asnaf dan golongan pendapatan rendah (B40) di Hulu Kelang, Sungai Tua dan Gombak Setia.

Amirudin berkata program tahunan syarikat milik penuh Kerajaan Negeri itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi meringankan beban penduduk khususnya yang terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya mengucapkan terima kasih kerana program ini diteruskan dan mampu mengurangkan beban sekali gus memberi kegembiraan kepada penerima menjelang Aidilfitri,” katanya.


Pengarang :