PBT

MDSB buat ujian saringan Covid-19 pada 336 peniaga pasar

SHAH ALAM, 11 MEI: Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) menjalankan ujian saringan ke atas 336 peniaga dari lapan pasar awam bagi membendung penularan virus tersebut.

Pihak berkuasa tempatan itu dalam kenyataan memaklumkan antara pasar awam terlibat adalah Pasar Awam Sekinchan, Pasir Panjang, Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, Pasar Awam BNO, Sungai Air Tawar dan Sabak serta Jeti Ikan Sekinchan.

“Saringan itu dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga ekoran banyak kes positif berlaku di Pasar Borong Selayang selain memastikan seluruh pasar awam di Sabak Bernam bebas Covid-19,” katanya menerusi Facebook.

Ujian saringan bermula jam 8 pagi hingga 1.30 petang diketuai Pegawai Kesihatan Daerah Sabak Bernam, Dr Liza Abd Latif.

Turut terlibat membantu melancarkan perjalanan ujian itu ialah petugas dari pusat kesihatan daerah, klinik kesihatan, polis, Rela dan Pejabat Tanah dan Galian serta Jabatan Kerja Raya.

Sebelum ini, kerajaan mengisytiharkan kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan susulan 28 kes Covid-19 direkodkan di lokasi berkenaan dengan satu kematian membabitkan warga Myanmar berusia 36 tahun.


Pengarang :