BUDAYARENCANA

Moratorium Rattus Norvegicus

Oleh Nurimas SN

PAK Mon jalan terhinggut-hinggut mencelah belakang bekas kumbahan. Ekornya yang carik-marik menjadikan pandangan hodoh dari buritan. Lohong kediaman lima beranak itu semakin hancing dengan aroma tinja dan lebihan urea. Tiada stok sandang pangan untuk Mak Dok dan anak-anak kecilnya. Tiga bangkai anaknya yang telah tumpas kelaparan mula membusung. Sehari dua lagi bakal meletup dan menghantar aroma lain pula.

Pak Mon hilang usaha mencari sumber pendapatan. Kali ini ia akan mencuba nasib ke lahan lain. Ini kerja yang jarang dilakukan sepanjang hidup. Ia kebiasaan baharu bagi spesies dan keturunan mereka. Tidak pernah dilakukan generasi-generasi sebelum itu.

Tapi tuntutan semasa memaksanya berubah. Jangan takut kepada perubahan, tapi takutlah jika kita tidak berubah-ubah. Itu kata-kata pakar motivasi di televisyen yang didengari ketika pelanggan enak menjamu hidangan.

Namun kini premis tempat ia dan konco-konconya lepak dan berpesta dengan aneka juadah, sudah sebulan tidak beroperasi. Longkang kering-kontang. Basi makanan langsung tidak kelihatan. Seminggu mereka tidur kelaparan, hanya jilat air rebasan hujan. Berkeroncong perut tak tahu nak habaqlah, kata orang utara.

Anak-anak cit-cat tanya itu ini, dibuat tak dengar sahaja. Sudah kempis kandul susu ibu dinyonyot punatnya. Mak Dok hilang tenaga meladeni anak-anaknya. Apa lagi melampiaskan nafsu Pak Mon yang masih agresif bersenggama. Nasib baik ia pun hilang seleranya lewat sebulan ini.

Entah apalah dosa yang mereka lakukan hingga manusia tergamak tidak lagi membuang baki kudapan dan lebihan produk ke tong sampah. Hendak dikatakan Pak Mon dan rakan-rakan mendatangkan susah, rasanya sudah berabad rutin itu disepakati. Pengusaha makanan buang, Pak Mon ambil bersihkan. Tidak salah, ‘kan?

Hendak dikatakan Leptospirosis yang dibawanya hingga manusia derita, telah pun ditemui penawarnya dan bukan lagi jadi satu masalah besar. Pak Mon dan saing-saingnya tidak bersalah.  Manusia membuang sisa komersial, gerombolan Pak Mon menghadamkannya.

Rattus Norvegicus tua makin lemah. Dia tiada strategi lagi selain menongkah arus melawan kebiasaan. Ia tidak sanggup melihat anak mati kebuluran. Kali ini ia bawa semua anak bini menjelajah laluan baharu.

Kalau di lohong, longkang sudah tiada lagi rezeki enap cemar, ia terpaksa mencari lubuk lain. Hairan juga Pak Mon, sejak bila pula manusia pintar mengubah kebiasaan mereka.  Semua bekas sampah, kosong. Tiada lebihan jajan tersangkut di mana-mana. Air parit semakin jernih dan laju ngalirnya. Itulah sahaja yang mampu diteguk, tanpa sisa pejal mengenyangkan.

Muncungnya yang mendatar aktif mencicip temuan di hadapan kalau-kalau ada cebisan lauk untuk dihabisi. Hampa. Trek perjalanan mereka kian menjauh.  Selama ini sekitar radius 20 meter dari lohong kediamannya sahaja temboloknya sudah kembung.

Tiba di pemukiman baharu, Pak Mon dapat melihat kelibat anggota polis dan askar berkawal. Belitan tali kecemasan dan kawat berduri melilit. Sudah dua-tiga premis dilihat dalam keadaan begitu. Mereka mengawasi ahli komuniti keluar-masuk kawasan. Semua manusia laki-bini diminta duduk rumah!

Kata mereka, ini masa PKP dan moratorium. Macam nama spesies Pak Mon pula bunyinya. Katanya lagi, ada virus ganas sedang membuana. Covid-19 namanya. Entahlah, Pak Mon tidak kisah hal itu. Yang ia kisah walaupun virus itu melanda manusia, mengapa haiwan jadi mangsa? Paling tidak berilah mereka bantuan makanan macam petugas-petugas itu dapat dari GrabFood. Lebihan saja pun!

Anehnya, habis makan, ada sahaja sukarelawan yang ambil dan bersihkan meja. Tidak tinggal langsung sebutir nasi untuknya tumpang sekaki.  Bersih licin kawasan mereka bertugas. Huh! Pak Mon dan Mak Dok terkebil-kebil. Sambil tangan Mak Dok membelai-belai kepala anak-anaknya yang kelihatan bergeluk air liur.

Mereka berjalan menyusup pesisiran strata bangunan dalam kesamaran malam. Ada suluhan lampu picit menyorot ke arah mereka. Cepat-cepat Pak Mon mengarahkan anak-anaknya menyelinap di balik pohon. Habis longkang disusurinya untuk sesuap makan, belum lagi jumpa.

Sebagai omnivor, ia boleh ratah apa sahaja. Jika tiada langsung sisa makanan, kertas dan daun kering dibahamnya. Namun itu pilihan terakhir. Mak Dok hendak juga telan lebihan KFC atau kepala ikan ketika bunting ini. Sekarang pun dikhabarkan manusia amat aktif beraksi di rumah masing-masing!

Tidak hairanlah spesiesnya populasi nombor dua teramai di dunia selepas manusia. Long tailed giant, panggilannya di Eropah, Norway rat juga orang gelar. Semua tempat ada sahaja spesies dari keluarga rattus kecuali kutub. Ia rakyat dunia yang ada hak asasi.

Pak Mon dan Mak Dok tidak putus asa. Diajak tiga ekor anaknya melalui titian ke tingkat atas kondominium. Ini kebiasaan baharu bagi mereka. Hidup kena berubah, bukan? Ini cabaran musim berkurung kontemporari.

Berat juga usaha kali ini. Disiplin ini mainan tikus rumah atau Mus domesticus dan tikus atap yang pakar memanjat. Lubuk longkang dan pusat pelupusan sampah pula wilayah takluknya. Tapi kali ini kena cuba juga. Jika tidak, mati anak-anaknya. Lainlah tikus belanda comel belaan manusia, memang terjaga menunya.

Usai tingkat pertama, gagal menemui apa-apa. Pak Mon ajak anak isterinya merayap lagi. Kali ini menyusur pilar ke puncak kondo. Dari sana akan kelihatan tempat buangan rezeki yang banyak, fikir Pak Mon. Mak Dok buat demo untuk ketiga-tiga anaknya yang masih bertatih. Ia kena ajar dari kecil untuk mahir survival hidup.

“Ciit!” tiba-tiba terdengar jeritan kian sayup. Seekor anaknya tergelincir dan melorot ke bawah. Nasibnya malang apabila gagal memaut dinding konkrit. Pak Mon sempat menoleh melihat kelibat anaknya terhempas ke lantai. Mak Dok meleleh air mata. Ia pandang hiba Pak Mon yang rasa bersalah.

Tafakur berjeda. Dari puncak pilar, Pak Mon lihat ada cebisan plastik sampah di sebuah rumah. Ia yakin ada rezeki dan mengajak ahlinya menuruti.  Salah seekor anaknya keletihan. Mak Dok menyondolnya dari bawah. Perutnya sendiri kian boyot hasil kerja Pak Mon. Anak yang disangganya makin lemah dan benar-benar menumpang kekuatan Mak Dok yang juga kian cemas.

Pak Mon dan seekor lagi anaknya hampir tiba ke gantungan plastik. Mak Dok cuba bertahan mendaki pilar. Tiba-tiba terdengar semacam bunyi orang mengepam air dari atas. Malang, pilar tersebut bocor dan air melicinkan pergerakan Mak Dok dan anaknya sebelum meluncur ke bawah.

“Doooook!” jeritan Pak Mon mengiringi jatuhan keduanya. Cepat-cepat Pak Mon mendakap anaknya yang satu lagi.

Sambil air matanya menjirus ketiga-tiga bangkai di bawah, Pak Mon kuatkan iltizam untuk terus mengharungi musim moratorium. Harapannya selari dengan manusia, agar tempoh itu segera berakhir dan mereka boleh saling berkolaboratif hidup lestari.

Cuma, mungkin manusia sudah menemui kembali akar budinya. Dan ini memaksa Pak Mon memeta strategi baharu untuk kelangsungan hidup. Bukan lagi seperti kebiasaan dahulu!

 


Pengarang :