AGENDAEKONOMI

Moratorium: Tiada caj tambahan bayaran ansuran perjanjian sewa beli

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Tiada sebarang caj tambahan akan dikenakan ke atas bayaran ansuran perjanjian sewa beli konvensional dan syariah bagi tempoh sepanjang moratorium (penangguhan), kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata sehubungan itu, peminjam akan perlu menyambung pembayaran ansuran seperti biasa berdasarkan terma-terma perjanjian dengan bank masing-masing.

“Ia termasuk tambahan enam bulan bagi keseluruhan jadual pembiayaan jika memilih untuk memanfaatkan moratorium tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ini adalah merujuk kepada saranan kerajaan kepada industri perbankan mengenai pelupusan faedah ke atas ansuran bagi pinjaman sewa beli konvensional dan syariah, katanya.

Tengku Zafrul berkata justeru, Kementerian Kewangan telah mencapai kata sepakat dengan industri perbankan berhubung perkara tersebut.

“Persetujuan dicapai untuk menetapkan bahawa jumlah ansuran bulanan pinjaman tidak akan berubah bagi peminjam sewa beli konvensional dan syariah sepanjang tempoh pembiayaan tersebut,” katanya.

Beliau berkata maklumat lanjut boleh didapati dari bank masing-masing.

“Kerajaan berharap keputusan ini akan dapat meringankan beban rakyat dalam tempoh yang mencabar ini,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :