Pekerja kontraktor sedang membersihkan sekitar kawasan tanah runtuh di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa pada 30 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MPAJ pasang besi penahan di kawasan tanah runtuh Bukit Antarabangsa

KUALA LUMPUR, 30 MEI: Kerja-kerja pemasangan besi penahan tanah sedang dijalankan di belakang kawasan perumahan Jalan Kelab Ukay 4, Bukit Antarabangsa, di sini, susulan kejadian tanah runtuh awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata kerja membaik pulih berkenaan dilaksanakan segera oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

”Pihak bomba ketika ini hanya membantu para penduduk terjejas untuk memindahkan barangan mereka.

“Bomba akan memantau keadaan selama 24 jam di kawasan terjejas bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh yang berikutnya,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, seorang penduduk terjejas, Ahmad Zulhairi Mahadi, 36, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu memindahkan barangan rumahnya ke tempat selamat.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada mereka yang membantu dan kini kami menetap sementara waktu di rumah ibu saudara saya di Keramat,” katanya.

Selain itu, Normal Seirin, 55, berpuas hati dengan bantuan semua pihak terlibat dalam membantu seperti menyediakan kemudahan tempat tinggal sementara di Hotel De Palma Ampang.

“Setakat ini saya amat berpuas hati tetapi pada masa akan datang saya akan lihat perkembangan lain dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati Jabatan Kerja Raya (JKR) dan MPAJ berada di lokasi kejadian bagi memantau dan melihat perkembangan semasa kerja-kerja membaik pulih kawasan terjejas berikutan tanah runtuh yang berlaku kira-kira 2.21 pagi tadi.

Setakat pukul 6.11 petang ini, pemerhatian Bernama mendapati kerja-kerja memasang besi penahan tanah giat berjalan dan diawasi oleh JKR.

Difahamkan kerja pemasangan besi penahan tanah itu dijangka siap dalam tempoh seminggu mengikut keadaan cuaca.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin hari ini memperuntukkan sejumlah RM2 juta untuk membina tembok penahan di kawasan tanah runtuh yang menjejaskan tujuh buah rumah di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa, di sini.

Berikutan itu, kesemua penduduk terjejas menginap sementara di Hotel De Palma sebelum mereka memilih tempat tinggal untuk tempoh enam bulan sama ada di apartmen atau sebagainya.

– BERNAMA


Pengarang :